IGIFT

Universiti Malaysia Terengganu

Tertib Mengarang: Asas Retorik Untuk Pelajar Dan Pendidik

Buku Tertib Mengarang: Asas Retorik untuk Pelajar dan Pendidik ini dihasilkan khusus untuk membantu para pelajar dan pendidik menghasilkan tulisan atau karangan yang bermutu. Pengarang menegaskan bahawa syarat asas penghasilan tulisan yang bermutu ialah kepatuhan kepada kaedah mengarang yang tertib yang terbahagi kepada tiga tahap. Tahap pertama ialah tahap persiapan atau prapenulisan; yang kedua ialah tahap penulisan sebenar, sementara yang ketiga ialah tahap penyemakan atau pascapenulisan. Penulis yang berdisiplin tidak harus mengabaikan proses mengarang secara tertib itu.

 

Dalam penghasilan karangan pula, penulis menggunakan pendekatan pembinaan wacana, iaitu sesuatu tulisan, biar apa pun bentuk atau jenisnya, mestilah disusun dengan menitikberatkan ciri binaan wacana yang utuh, antaranya kesatuan, kepaduan dan jalinan gagasan. Jika wacana dapat dianalogikan dengan hidangan makanan yang terhasil daripada resepi dan gaya olahan masakan yang baik, maka penghasilan karangan yang baik banyak bergantung pada pengolahan gagasan dengan cara yang baik juga. Demikian juga, jika hidangan makanan yang baik bermula dengan pemilihan ramuan atau bahan yang bermutu, maka karangan yang baik dapat dihasilkan hanya apabila penulis menguasai unsur-unsur pembentuk wacana dengan baik, khususnya unsur kata dan ayat yang berkesan.